Thursday, 2 June 2011

Agar Wanita Menjaga Kemuliaannya

http://1.bp.blogspot.com/-nOu2K3TrpmA/TdQXClj0XXI/AAAAAAAAAOs/GT4HAHYK4C4/s400/wanita.jpg
 
Agar Wanita Menjaga Kemuliaannya
 
Di antara cara Islam memuliakan kaum wanita adalah dengan menitik-beratkan 
penjagaan aurat. Kaum wanita yang menjaga auratnya dengan
 baik melambangkan keteguhan iman dan simbol kebebasan 
pemikiran mereka dari belenggu ideologi jahiliyyah.
 
Menutup aurat bagi wanita dari sudut syara’ merujuk perbuatan
 menutup tubuh dan perhiasannya, sehingga orang asing 
(yang bukan tergolong dari mahramnya) tidak melihat sesuatu pun
 dari tubuhnya dan perhiasan yang dia kenakan sebagaimana 
diperintahkan supaya ditutup (dihijab). Iaitu ditutup dengan 
pakaiannya atau dengan tinggal di rumahnya.
 
Wanita mukmin berhijab dengan mengenakan khimar
 (tudung atau penutup kepala) yang dilabuhkan sehingga ke
 dada-dada mereka dan dengan mengenakan pakaian (jilbab) 
yang menutupi seluruh tubuh mereka.
 
Kefahaman ini diambil antaranya dari firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (yang maksudnya):
 
 
 
“Hendaklah mereka (wanita yang beriman) menahan pandangan
 dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan 
perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.
 Dan hendaklah mereka mengenakan khumur dengan melabuhkan
 ke atas dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya
 (aurat)... (kecuali kepada mahram mereka).” (Surah an-Nuur, 24: 31)
 
Lafaz al-Khumru atau al-khumur yang termaktub dalam ayat 31 
surah an-Nuur ini adalah bentuk jama’ dari lafaz khimar yang 
membawa maksud sesuatu yang dapat menutupi. Maksudnya 
di sini adalah merujuk kepada menutupi kepala (tidak termasuk dada).
 Ia juga disebut dengan al-Miqna’ atau al-Maqaani’ (jamak) yang 
membawa maksud tudung (penutup kepala). Secara lengkapnya ia 
adalah pakaian yang menutup bahagian kepala iaitu mencakupi
 rambut, telinga, dan leher.
 
Berdasarkan penelitian Syaikh al-Albani dalam kitabnya
 Jilbab al-Mar’atil Muslimah fii Kitabi wa as-Sunnah, beliau 
menyatakan khimar adalah penutup kepala, tidak ada yang
 nampak darinya kecuali lingkaran wajahnya.
 
Manakala sebahagian pendapat yang lain (dari kalangan ulama) 
menyatakan wajib menutup termasuk bahagian wajah (atau muka).
 
Dalam ayat tersebut Allah menyatakan:
 
 
“Dan hendaklah mereka mengenakan khumur dengan melabuhkan ke atas dadanya...”
 
Maksudnya di sini agar kain tudung (khimar) yang dikenakan supaya
 dilabuhkan sehingga menutupi dada dan tulang dada. Hukum ini adalah 
supaya wanita mukmin memiliki perbezaan yang jelas berbanding dengan 
wanita-wanita jahiliyyah, kerana wanita-wanita jahiliyyah tidak pernah
 melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah tersebut.
 
Kebiasaan wanita jahiliyyah mereka gemar melewati para lelaki
 dengan menampakkan bentuk dada-dada mereka serta tanpa ditutupi.
 Mereka juga turut menampakkan leher, jambul rambut,
 dan anting-anting telinga mereka.
 
Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun memerintahkan
 wanita-wanita yang beriman supaya menutup diri mereka
 di hadapan lelaki ajnabi (yang bukan mahram) atau apabila
 keluar dari rumah. Penjelasan seperti ini boleh ditemui dalam Tafsir Ibnu Katsir.
 
Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman (maksudnya):
 
 
 
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak
 perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin,
 “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.”
 Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal
 yang dengannya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah
 Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahdzab, 33: 59)
 
Perkataan jilbab dalam ayat ini merujuk pakaian yang menutupi seluruh tubuh.
 Fungsi jilbab lebih luas (umum) dari khimar (tudung), kerana jilbab 
merujuk pakaian yang dapat menutupi tubuh wanita dari kepalanya
 sehingga ke bahagian bawah tubuhnya (termasuk kaki). Melainkan 
apa yang dibenarkan untuk tidak ditutup atau dibolehkan terbuka
 iaitu muka dan kedua tapak tangan.
 
Secara umumnya, syarat-syarat asas pakaian seorang 
wanita beriman di hadapan bukan mahramnya adalah sebagaimana berikut:
 
1. Menutup seluruh tubuh, melainkan bahagian yang
 dikecualikan (yang boleh untuk tidak ditutup).
 Iaitu muka dan kedua tapak tangan.
 
2. Bukan dengan tujuan untuk berhias, menarik perhatian,
 atau melawa di hadapan bukan mahram.
 
3. Menggunakan kain yang tebal (bukan yang tipis atau jarang)
 sebagai kain pakaiannya. Ini supaya tidak menampakkan 
warna kulit atau bahagian dalam tubuhnya.
 
4. Tidak ketat tetapi perlu agar longgar dan tidak boleh
 menggambarkan bentuk tubuh.
 
5. Tidak diberi wangi-wangian (perfume).
 
6. Tidak menyerupai pakaian lelaki.
 
7. Tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau syi’ar orang-orang fasiq.
 
8. Bukan pakaian kesombongan atau untuk bermegah-megah.
 
Lebih lanjut tentang perbahasan pakaian wanita beriman ini,
 penulis cadangkan agar para pembaca menela’ah buku
 karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah bertajuk,
 “Jilbab al-Mar’atil Muslimah.” Buku ini telah pun diterjemahkan
 ke bahasa Melayu antaranya dengan judul Jilbab Wanita Muslimah
 oleh Pustaka at-Tibyan dan Kriteria Busana Muslimah oleh Pustaka
 Imam asy-Syafi’i. Buku ini memuatkan hujjah penjelasan yang 
cukup baik dari ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis Nabi, dan 
perkataan salafus soleh berkaitan tatacara menutup aurat bagi
 seorang wanita beriman.
 
Dengan memahami kewajiban menutup aurat bagi wanita,
 maka kita akan memahami pula bahawa Islam amat melarang
 keras perbuatan eksploitasi dan aksi peragaan tubuh wanita
. Islam menjaga aurat wanita dengan cara memakaikan 
mereka jubah-jubah kemuliaan. Islam melindungi mereka
 dari mata-mata keranjang bahkan memerintahkan pula kaum
 lelaki menundukkan pandangan mereka terhadap kaum wanita.
 Mereka juga dilindungi dari menjadi agen pembangkit
 nafsu syahwat serta berahi. Islam memperuntukkan para
 wanita agar menjadikan rumah-rumah mereka atau rumah-rumah
 suami mereka sebagai tempat terbaik menjaga diri.
 
Islam tidak menggalakkan kaum wanita berkeliaran atau 
berpeleseran di tempat-tempat awam tanpa sebarang sebab
 atau keperluan yang mendesak. Sebaliknya kaum lelaki yang
 merupakan suami atau wali bagi wanitalah yang bertanggungjawab
 memenuhi keperluan nafkah kaum wanita dengan keluar bekerja di
 luar rumah. Dengan itu, kaum wanita akan lebih selamat dengan 
tinggal di rumah-rumah mereka dan menjadi penjaga harta-harta
 suami mereka merangkap pendidik berkesan bagi anak-anak.
 
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
 
 
“Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke 
atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin
 yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.”
 (Hadis Riwayat al-Bukhari,
 Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya, 16/207, no. 4801)
 
Sehingga hendak bermusafir dan hendak menunaikan haji selaku ibadah 
yang besar pun tidak dibenarkan bagi wanita jika tidak memiliki mahram
 yang sah. Demikianlah seriusnya Islam dalam menjaga kehormatan wanita.
 
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
 
 
“...hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj)
 dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu.”
(Surah al-Ahzab, 33: 33)
 
Tabarruj bagi wanita dalam ayat ini adalah perbuatan memperlihatkan 
keindahan tubuh dengan membuka aurat untuk tatapan umum, mencari
 tarikan, mahu kelihatan cantik dan bersolek bukan untuk suaminya,
 mencukur kening, memakai pakaian yang menunjukkan atau menggambarkan
 bentuk tubuh, serta yang seumpamanya.
 
Namun dari apa yang kita lihat hari ini, ramai wanita Islam telah
 mula meninggalkan kemuliaan yang diberikan oleh Islam kepada
 mereka. Perintah agama supaya menutup aurat dan larangan agar
 tidak bertabarruj seolah-olah dilupakan dan dipandang remeh. 
Wanita-wanita Islam mula bangga untuk berkeliaran bebas
 di khalayak ramai sambil menggayakan fesyen-fesyen tidak
 syar’i yang mereka anggap sebagai lambang kemodenan.
 
Ini dapat kita perhatikan apabila tanpa rasa bersalah atau malu
 mereka membuka tudung, mendedahkan lengan, membuka dada, 
memperlihatkan betis, serta mempertontonkan bahagian-bahagian
 tubuh mereka di hadapan umum.
 
Termasuk di dalamnya adalah mengenakan fesyen tudung atau
 rambut bersanggul tinggi seperti bonggol unta. Juga fesyen pakaian
 ketat yang menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian
 dengan kain yang jarang, mengenakan kain yang tipis serta pakaian yang singkat.
 
Apabila fenomena-fenomena seperti ini muncul dan terus berluasa,
 maka berlakulah apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah 
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa fitnah-fitnah yang berbahaya
 bagi kaum lelaki dan masyarakat secara umum.
 
Kebanyakan wanita yang gemar berpeleseran atau menghabiskan
 masa keluar bekerja di luar rumah pasti berhadapan risiko kehilangan
 nilai-nilai kewanitaannya. Mereka akan berhadapan pergaulan bebas
 dengan kaum lelaki, menjadi perhatian umum, menjadi bahan penggoda,
 dan menjadi tarikan kaum lelaki pelbagai sifat serta karektor.
 Sedangkan wanita itu fitrahnya adalah lembut dan lemah.
 Maka ini akan mendedahkan mereka kepada pelbagai ancaman.
 
Selain itu, anak-anak dan institusi kekeluargaan pula akan
 menjadi kelam-kabut, kehilangan sentuhan kasih-sayang,
 rasa cinta, dan akhirnya boleh mengakibatkan terabainya
 kewajiban yang telah ditetapkan. Akhirnya boleh mengundang
 pelbagai fitnah dan gangguan keharmonian kekeluargaan.
 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
 
 
 
“Aku tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya
 bagi lelaki melebihi fitnah wanita.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim – Muttafaq ‘alaih)
 
Beliau juga bersabda:
“Takutlah kamu dengan dunia dan takutlah kamu dengan fitnah 
wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah berkaitan urusan wanita.”
(Hadis Riwayat Muslim, 13/284, no. 4925)
 
Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada isterinya Fathimah radhiyallahu ‘anha:
 
 
“Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab:
 
 
“Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki
 pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi:
 
 
“Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di
 antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki
 dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.”
 
(Lihat: adz-Dzahabi, al-Kaba’ir, m/s. 171-172. Dinukil daripada:
 ‘Abdullah al-Jarullah, Mas’uliyyah al-Mar’ah al-Muslimah, m/s. 67)
 
Dari itu, kaum wanita hendaklah menjaga kemuliaannya dengan
 sebaik mungkin. Para wali hendaklah mengambil berat perkara ini.
 Atau sebaliknya membiarkan tubuh-badan wanita-wanita ini
 dinikmati lelaki tidak beriman sehingga menjadilah ia punca
 fitnah dalam masyarakat. Dan mereka pula berhadapan pelbagai
ancaman risiko yang tidak baik. Semoga kita semua dijauhkan darinya
 dengan berusaha mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya.
 
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan peringatan
 yang menggerunkan dengan katanya:
 
 
“Ada dua kelompok penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat.
 (Iaitu) kaum lelaki yang membawa penyebat seperti ekor lembu 
di mana mereka memukul manusia dengannya. Dan kaum wanita yang
 berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan maksiat dan mengajarkan
 kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka seperti 
bonggol unta yang senget, mereka tidak akan masuk 
Syurga dan tidak akan mencium aromanya.
 Padahal aroma Syurga itu tercium dari jarak sekian
 dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim, 11/59, no. 3971)
 
Maksud wanita yang berpakaian tetapi telanjang ini adalah umum
 sama ada mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna,
 memakai pakaian yang menggambarkan tubuh dan bentuk-bentuk
 tubuh mereka, berpakaian singkat, mahupun yang berpakaian tipis dan ketat.
 
Manakala keterangan tentang kepala mereka seperti bonggol unta
 ini pula merujuk kaum wanita yang mengenakan sanggul atau
 menghimpunkan rambut-rambut mereka ke atas sehingga
 menampakkan kepada umum seperti bentuk bonggol unta 
di kepala mereka. Sama ada ia mengenakan di bawah tudung
 atau tanpa bertudung. Penjelasan berkaitan hadis ini penulis
 ambil dari Syarah Shahih Muslim oleh Imam an-Nawawi danSyarah
 Riyadhus Shalihin oleh Syaikh al-‘Utsaimin.
 
Maka, jadilah wanita yang solehah lagi mulia. Iaitu yang
 memelihara diri sebagaimana diperintahkan. Taatilah Allah 
Subhanahu wa Ta’ala dan takutlah dengan ancaman-Nya.
 
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
 
 
“Oleh itu maka wanita yang solehah adalah yang taat kepada Allah
 lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah 
telah pelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)
 
Wallahu a’lam...

No comments:

Post a Comment