Monday, 13 June 2011

Doa senjata rabbani, muttaqin umat Islam


Oleh Hizbur Rahman

2011/04/06
Kisah nabi, rasul bukti Allah makbulkan hajat manusia yang memohon dengan rasa rendah diri

DOA adalah antara ibadat sunat yang sangat dituntut supaya dilakukannya. Dalam erti kata lain, doa adalah satu kewajipan ke atas seorang Muslim. Kita dikehendaki berdoa untuk memohon sesuatu hajat tanpa mengira masa dan keadaan kerana mengharapkan pertolongan dan rahmat Allah. Pintu rahmat Allah sentiasa terbuka untuk hamba-Nya.
Doa dalam pengertian yang luas, permohonan inayah daripada hamba kepada Allah SWT. Pada hakikatnya, doa adalah penyataan hajat seorang hamba kepada Allah dan pengakuannya bahawa keupayaan dan kekuatan semata-mata milik Allah. Ia adalah lambang pengabdian dan rasa rendah diri dengan keagungan Allah yang menciptanya. Dalam doa juga terkandung pujian dan sandaran sifat pemurah dan penyayang kepada Allah SWT.
Ada orang berkata, apa faedahnya berdoa, sedangkan qadar untuk seseorang sudah ditetapkan Allah? Sesungguhnya doa disyariatkan supaya hamba rasa berharap-harap untuk mencapai keinginannya. Rasa itu mendorong manusia berusaha untuk mendapatkannya, sedangkan orang yang berasa yakin akan memperolehnya akan menjadi seorang yang fasik dan malas berusaha. Ingin memperoleh sesuatu menjadikan manusia kuat bekerja dan berusaha. Harap dan bimbang itu paksi ibadah yang menuntut kesungguhan dan kerajinan dalam mengerjakannya.

Dalam dunia moden hari ini, kekuatan sesuatu bangsa diukur sekuat mana senjata yang dimiliki dan secanggih mana senjata itu. Oleh itu, industri senjata dan peluru berlumba-lumba mempamerkan produk terkini mereka. Tetapi ada satu senjata yang tidak dicipta oleh mana-mana kilang senjata, sama ada di Timur atau Barat. Senjata itu hanya milik Muslim. Senjata itu senjata rabbani. Senjata nabi dan rasul, malah senjata muttaqin sepanjang zaman.

Dengan senjata itu, Nabi Noh terselamat, kaumnya yang kafir tenggelam dalam taufan. Dengan senjata itu Nabi Musa terselamat daripada kezaliman Firaun laknatullah. Dengan senjata itulah Nabi Soleh terselamat dan kaum Thamud binasa. Dengan senjata itu Nabi Hud berjaya dan kaum A'ad kecundang dan dengan senjata itu juga junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW menempa kejayaan gemilang dan kaum Musyrikin penentangnya tersungkur. Bangsa Rom dan Parsi juga tumbang di tangan sahabat Baginda, hasil daripada kekuatan senjata itu.

Senjata yang dimaksudkan itu adalah doa. Doa disyariatkan sebagai ibadah. Abu Daud At-Tarmidzi dan Ibnu Majjah ada meriwayatkan yang maksudnya: "Daripada An-Nu'man bin Bashir, berkata Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah ibadat. An-Nu'man menjelaskan lagi selepas itu Rasulullah SAW membaca ayat ke-60 daripada Surah Ghafir yang bermaksud: "Dan tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaku, nescaya aku akan perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina."
Sebenarnya setiap doa pasti akan dikabulkan Allah SWT asalkan ia bertujuan baik, seperti mengharapkan kesejahteraan dunia dan akhirat, murah rezeki, kesihatan yang baik, tambahan ilmu yang baik, peningkatan iman dan sebagainya. Sebaliknya Islam sangat melarang dan mengharamkan doa yang bertujuan tidak baik, seperti minta dimatikan atau dibinasakan, kerana tidak mampu menghadapi dugaan Allah dan meminta Allah menurunkan bala' ke atas orang yang didengkinya. Selain itu, kemuliaan doa juga, tidak boleh dicemarkan melalui upacara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Antara waktu terbaik berdoa ke hadrat Ilahi seperti waktu berangkat ke medan perang untuk menegakkan atau mempertahankan agama Allah, ketika hujan, sewaktu berbuka puasa, dalam sujud dan dalam musafir yang bertujuan baik lagi diharuskan.

No comments:

Post a Comment